LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melancarkan pusat pengumpulan hasil sawit bersepadu Damar Berkat: Pusat Mengumpul Sawit (PMS) iaitu inisiatif baharu bagi menyokong penggunaan lori elektrik dengan penjejak Sistem Pengesanan Global (GPS).
Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sistem kebolehjejajakan dan teknologi lebih bersepadu oleh syarikat Sustainable Future Sdn Bhd dapat memastikan pengangkutan hasil hanya ke kilang dan pusat pengumpulan Felda.
Katanya, sistem baharu itu juga akan memastikan setiap hasil sawit ditimbang, direkod secara digital dan dipantau dalam sistem telus yang dikendalikan oleh Koperasi Permodalan Felda (KPF).
"Felda mengambil inisiatif menggunakan sistem kebolehjejakan dan teknologi lebih bersepadu serta mampan bagi mengurangkan ketirisan. Harapan kami, langkah itu akan memberi pulangan secara terus kepada peneroka.
"Data hasil ini menjadi pangkalan maklumat penting untuk strategi pasaran, subsidi dan logistik, sekali gus memperkukuh daya saing Felda dalam sektor agrikomoditi negara," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, sebelum ini, KPF pernah mengalami kejatuhan dividen ekoran kelemahan dalam sistem agihan hasil.
"Dengan pembaharuan ini, Felda menyasarkan pemulihan semula kekuatan koperasi sebagai nadi pembangunan ekonomi komuniti peneroka," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, pelancaran Damar Berkat: PMS disifatkan sebagai titik permulaan kepada reformasi besar-besaran dalam pengurusan hasil peneroka yang sebelum ini menjadi mangsa kepada rantaian sistem tidak telus didalangi peraih, sindiket penimbang dan ejen luar.
Menurutnya, sistem lama sudah membuka ruang kepada 'singa, buaya dan gajah' yang menindas peneroka melalui manipulasi harga dan penipuan timbangan.
"Felda tidak boleh lagi berdiam diri. Ketirisan yang berlaku bukan sahaja merugikan peneroka secara individu, malah Felda secara keseluruhan dengan anggaran kerugian mencecah RM200 juta setahun akibat kehilangan hasil tidak direkod dan aktiviti luar sistem.
"Mereka (peraih) memanipulasi hasil sawit, ambil untung tanpa usaha, sawit 'hilang' di tengah jalan malah pembayaran tidak telus. Situasi ini melemahkan kedudukan koperasi dan menjejaskan ekosistem pembangunan luar bandar," katanya.